Kegiatan Memanipulasi Harga Jualan Qaseh Gold
Salam perjuangan kepada semua Jemaah rania! Alhamdulillah! Hasil sokongan dan usaha kita bersama, pada hari ini jenama Qaseh semakin mendapat tempat di hati para pencinta produk formulasi makanan Sunnah, malah melonjakkannya ke tahap menjadi formulasi makanan Sunnah paling popular di Malaysia! Tahniah kepada anda semua!
Sebagai organisasi yang bermatlamatkan untuk melahirkan lebih ramai usahawan Muslim yang dinamik dan berdaya saing, Ana Edar Sdn. Bhd. yakin kehadiran produk Qaseh dan sistem pasaran berjemaah yang dijalankan oleh syarikat dapat merealisasikan hasrat kita bersama untuk memartabatkan ekonomi ummah. Syarikat juga sedang giat membina dan mengolah piawaian Barakah Practice yang akan diterapkan pada setiap lapisan Jemaah sebagai usaha menerapkan penghayatan terhadap amalan-amalan yang boleh melayakkan kita mendapat keberkatan daripada Allah.
Justeru itu, Ana Edar Sdn. Bhd. sangat memandang serius kegiatan segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada perkembangan positif pasaran Qaseh ini dengan menjual produk Qaseh dengan harga yang lebih murah daripada harga yang ditetapkan oleh syarikat. Taktik permainan harga ini walaupun tidak begitu ketara namun perlu ditangani dengan pantas, efisien dan berhemah agar ia tidak menjadi kanser yang merebak dan merobek Jemaah dan keluarga Ana yang telah kita bina bersama dengan visi dan misi yang murni ini, pada kemudian hari.
Sebagai peringatan kita bersama, Ana Edar Sdn. Bhd. terbina atas dasar kesedaran bahawa selayaknya ekonomi orang Islam dipandu dan dicorak oleh orang Islam sendiri. Pada hari ini, usaha ini dilihat sebagai sebuah jihad, iaitu jihad bisnes, dan seperti jihad-jihad lain, ia juga bermatlamatkan keredhaan Ilahi. Demi mencapai maksud ini, setiap perihal perniagaan yang dijalankan perlu menyantuni tuntutan-tuntutan Islam, termasuklah tuntutan mengelakkan kezaliman dan amalan-amalan negatif yang boleh merosakkan pasaran. Kerosakan ini akan menjejaskan periuk nasi saudara Islam kita sendiri, apatah lagi jika amalan negatif itu berciri provokatif yang akhirnya mengakibatkan kepincangan dalam saf Jemaah dalam bentuk buruk sangka, tuduh menuduh dan tohmahan berleluasa sesama ahli Jemaah sendiri.
Oleh yang demikian, seluruh Jemaah Ana dinasihatkan agar bukan sahaja merancakkan usaha demi menggandakan pulangan, tetapi memastikan usaha yang dilakukan menepati tuntutan syariat dan akhlak agar ia melayakkan kita mengecapi keredhaan Ilahi.
Antara harapan utama kita dalam mendapat keredhaan ilahi ialah kita memperoleh keberkatan terhadap hasil perniagaan kita. Soal barakah atau keberkatan sangat dititikberatkan oleh Islam. Kesan barakah ini boleh difahami melalui kata-kata :
‘Yang sikit dirasakan banyak, yang susah dirasakan senang, dan yang sempit dirasakan luas.’
Menurut pendapat ulama’, harta yang berkat tidak semestinya sedikit, malah harta yang banyak jika diberkati akan berlipatganda manfaatnya daripada biasa. Subhanallah! Inilah sebenarnya sasaran yang perlu kita buru. Jangan disebabkan keuntungan yang tidak seberapa, kita rela diri kita mendapat kemurkaan Ilahi, yang akhirnya mengundang kelaknatan terhadap hasil perolehan kita : Yang banyak dirasakan sikit, yang senang dirasakan susah dan yang luas dirasakan sempit!
Demi memelihara keutuhan ukhuwwah Jemaah Ana serta mewujudkan suasana pasaran yang adil agar setiap ahli Jemaah dapat menjalankan jihad bisnes dengan sebaiknya demi memperolehi hasil yang diberkati, syarikat tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk menggantung atau menamatkan keahlian Rania yang terlibat dengan kegiatan yang tidak bertanggungjawab ini, jika sabit kesalahan. Syarikat kini mewujudkan portal aduan untuk memantau keadaan ini dan pihak yang mempunyai maklumat yang betul digesa membantu kami menyempurnakan hasrat ini. Portal tersebut boleh diakases di sini: www.qaseh2u.com/aduan
Ingatlah, jika ranap dan punah pasaran Qaseh dek ketamakan kita mendapatkan ringgit yang tak seberapa, akhirnya yang binasa adalah ekonomi dan masa depan diri kita, ibu bapa kita, anak-anak dan cucu-cucu kita, ummat kita juga.