Menelusuri serpihan-serpihan binaan rumah yang rosak dibaham banjir mentitiskan air mata kami yang datang bertandang. Tapak rumah yang kehilangan rumahnya, rumah yang sudah tidak berupa rumah, kebun bertukar dataran lumpur, ternakan hanyut entah ke mana, kenderaan bermandi lumpur tersadai kaku.. Suatu gambaran tragik yang dapat dilihat di daerah Gua Musang, Kelantan.

IMG-20150303-WA0009

Kaki kami meneruskan langkah, berhati-hati, khuatir kaki tersadung. Hampir mustahil untuk sesebuah keluarga untuk terus mendiami kediaman sebegitu yang telah dimamah banjir. Dengan keperluan asas yang tidak terjamin, amatlah sukar untuk meneruskan kehidupan di sini.

Namun begitu, di raut wajah mereka menyinarkan cahaya ketenangan. Memancarkan erti sebuah kesabaran dan pengharapan. Keterbatasan akal dan kemampuan menyebabkan sebahagian besar bantuan yang disalurkan oleh pelbagai pihak tidak berkunjung tiba di sini. Mereka meneruskan kehidupan dengan apa yang ada, sekadar yang mampu, seboleh yang mungkin kerana apa pun yang terjadi, hidup tetap perlu diteruskan.

IMG-20150303-WA0006

Ana Edar Sdn Bhd cuba untuk menyelami dan merasai sendiri pengalaman pahit getir mangsa banjir di Gua Musang ini, sebagai sebuah tanggungjawab sosial, dengan hasrat dan harapan untuk memberi satu cahaya kehiudpan yang baru kepada golongan minoriti di sini. Matlamat untuk membina 7 buah rumah dan sebuah surau akan direalisasikan, InsyaAllah!

Di dunia ini, peluang untuk membuat kebaikan tidak pernah terhenti. Mengintai dari segenap sudut, ada pintu kebaikan yang menanti. Kata Nabi Junjungan, bersedekahlah(berbuat baik) dalam sehari walaupun hanya dengan senyuman.

Betapa Islam menekankan untuk kita sentiasa ‘memberi’ setiap hari. Janji Allah, apa sahaja yang diberikan secara ikhlas oleh setiap orang yang beriman akan dibeli oleh Allah di akhirat nanti dengan nilai yang tak terfikir dek akal! Ingatlah, sewaktu Allah menciptakan dunia ni, Allah hanya turunkan 1% nikmat untuk kita kecapi. 99% lagi Allah simpan untuk hari sesudah mati kita.

Andainya nikmat dunia yang hanya 1% sudah kita kagumi, inikan pula 99% nikmat yang belum pernah kita ketahui.

Perjalanan kami diteruskan ‘mengharungi’ pepohon yang berdaunkan reranting kekeringan yang tersangkut di dahanan kayu. Nun hujung di sudut sana sebuah rumah kelihatan kaku tak bermaya menanti rebah. Dengan dinding yang sudah terperosok keluar, bumbung yang tergelungsur dari tapaknya…Allahu Akbar..dahsyat sungguh penangan makhlukmu yang bernama air! Air dengan zarah yang tidak bercantum mampu memusnhakan pepejal yang dicantum!

Lemah rasa kaki ini bila terbayangkan andai di kala air itu berlari merempuh rumah tersebut, kami di sini. Mampukah kami menahan rempuhan tersebut? Rumah yang kukuh pun bertukar runtuh. Masing-masing terdiam membiarkan kaki melangkah ke destinasi seterusnya…

Sebuah lagi rumah di hadapan kami membuktikan bahawa bah banjir mampu menghanyutkan sesebuah rumah. Bumbungnya ranap hampir separuh. Tiang patah di sana sini. Dinding terkopak berlubang luas. Kondisi yang tidak memungkinkan sesebuah keluarga tinggal menginap lagi di situ.

IMG-20150303-WA0007

Teringatkan negeri sendiri, timbul rasa syukur di hati kerana tidak diuji sedemikian rupa. Alhamdulillah, Allah maha penyayang. Setelah 3 hari menjejak kesan banjir di Kelantan, kami pulang dengan satu misi, misi kebajikan, misi kemanusiaan, misi sesama insan, misi sejagat, untuk mengumpulkan dana bagi membantu saudara-saudara seIslam kita di sana.

IMG-20150303-WA0008

Kami mohon, sahabat-sahabat di luar sana, marilah bersama-sama kami di dalam misi ini. Hanya 7 buah rumah dan sebuah surau. Moga amalam kita yang sekelumit ini akan dipandang besar oleh Allah Taala di akhirat kelak. Moga nama kita akan diseru di padang mahsyar sebagai orang yang membantu saudaranya ketika mereka berada di dalam kesusahan. Moga kita dapat bernaung di bawah naungan Allah kelak.

IMG-20150303-WA0004

Sabda Nabi, ‘Umat Islam seumpama sebuah bangunan, saling memerlukan antara satu sama lain untuk terus tersergam teguh”. Bantulah mereka..mereka memerlukan…realisasikan erti dan makna ‘Jihad Bisnes’!