Bila yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing, maka segalanya akan menjadi mudah dan dipermudahkan. Alhamdulillah, Tabung Qaseh Bantuan Banjir Ana Edar Sdn Bhd, dengan redha dan restu Ilahi, jumlah yang terkumpul telah berjaya membiayai fasa ketiga.
Dana bagi telah bertukar tangan. Aspirasi telah diterjemahkan ke dalam bentuk usaha dan pelaksanaan. Tidak terkira ucapan syukur yang diungkapkan, para penduduk kampung telah bersama-sama menunaikan solat hajat di tapak rumah yang bakal didirikan.
Rayuan doa dan layangan harapan ditujukan kepada Allah Taala. Sebuah harapan dan kesungguhan agar apa yang bakal dibina nanti akan terus kekal memberi manfaat kepada generasi yang mendatang.
Tidaklah sebesar mana sumbangan dari Ana Edar Sdn Bhd, tetapi cukup untuk memberikan peluang kedua dalam kehidupan mereka dengan kediaman yang baru yang bakal dimiliki. Hasrat kami, bukanlah sebuah mahligai dengan sebuah lot tanah, tetapi sebuah harapan untuk mereka meneruskan kehidupan.
Sebuah majlis kesyukuran secara kecil-kecilan juga turut dianjurkan oleh para penduduk sebagai tanda syukur kepada Allah. Alhamdulillah, riang gembira perasaan mereka, sukacita turut kami rasai.
Bagi meminimumkan kos, tiang utama atau tiang seri rumah rumah yang bakal didirikan diperolehi daripada hutan berdekatan. Sejumlah tenaga manusia digunakan bagi menyempurnakan proses ini. Ini juga termasuk penyediaan kerangka syiling dan atap rumah. Kos digunakan secara optimum bagi penyediaan bahan-bahan lain seperti kayu papan dinding dan lantai.
Untuk rekod, masih menjadi amalan tradisi masyarakat di Gua Musang untuk menebang pokok bagi tujuan pembinaan rumah. Satu suasana yang mungkin sukar kita lihat dan rasai pada masa sekarang.
Sewaktu wakil kami ke sana, terpinga-pinga kami rasakan apabila diberikan ‘scoop’ kecil. Apakah tujuan dan maknanya?…Tidak terniat untuk terus buntu, lantas kami bertanya dan tersengih dengan jawapan yang diberikan. Untuk qada’ haja rupanya. Lahaula wala quwwata illa billah…
Sesuatu yang memang tidak dijangka terpaksa kami lalui. Kata salah seorang daripada mereka ‘alah bisa, tegar biasa’, sambil tersenyum. Seolah-olah jauh dari pembangunan yang pesat, mereka masih tidak mampu untuk mengintegrasikan tandas di dalam rumah. Tabah dan gigih mengharungi hidup, itulah sunnah kehidupan mereka di sini.
Kami juga dimaklumkan bahawa jalan darat telah pun dibina bagi memudahkan mereka menghantar anak-anak ke sekolah. Sebelum ini, jalan air terpaksa digunakan sebagai laluan utama untuk ke sekolah. Bukanlah sebuah jalan tar seperti di jalan raya biasa, tetapi jalan darat yang sesuai dilalui oleh kenderaan pacuan 4 roda seperti triton, navara dan hilux.
Kami di Ana Edar tekad untuk meneruskan Jihad Bisnes bagi membangunkan ekonomi ummah selain daripada menghidupkan budaya ‘cakna ummah’ seperti yang dianjurkan oleh junjungan mulia dengan sabdanya yang bermaksud: “…Umat Islam itu umpama satu tubuh, apabila satu tubuh mengadu sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya…”