Sekali lagi dirafa’kan lafaz syukur dan pujian kepada Allah, Alhamdulillah. Walaupun hanya mengikuti perkembangan mangsa banjir di Gua Musang melalui skrin telefon pintar, hati kami seolah-olah dapat merasakan hembusan kelegaan pada wajah mereka. Walaupun masih belum sempurna pembinaannya, sekurang-kurangnya apa yang telah ‘berdiri’ itu dapat menguatkan semangat mereka untuk meneruskan kehidupan dengan kualiti yang lebih baik.

Tanpa pertolongan dari Allah Taala, tidak mungkin usaha ini akan berjaya. Tidak lupa juga kepada semua yang telah dan masih menghulurkan bantuan. Benar janji Allah, apabila kita memberi, percayalah bahawa kita juga akan diberi. Diberi sebuah perasaan gembira di atas kegembeiraan mereka yang telah kita bantu, Alhamdulillah.

IMG-20150520-WA0012

Untuk rekod, setiap pembangunan dan pembaharuan yang telah diusahakan akan dimaklumkan kepada Ana Edar melalui WhatsApp yang merangkumi berita dan juga visual-visual gambaran terkini di sana. Hasil kerjasama dan gemblengan tenaga yang tidak pernah pudar di kalangan penduduk kampung telah mempercepatkan lagi pembinaan kediaman baru mereka. Walaupun lokasi kampung yang agak dalam di ceruk kampung, usaha dan ikhtiar mereka tetap gigih dan utuh.

IMG-20150520-WA0013

Benarlah kata Allah, sekiranya Allah menghendaki sesuatu itu berlaku, maka tidak ada apa-apa yang boleh menghalangnya. Dan jika Allah inginkan sesuatu itu tidak berlaku, maka tidak akan ada apa-apa juga yang boleh menghalangnya. Kata Allah lagi “Sekiranya kamu membantu agama Allah, maka Allah akan membantu kamu dan menetapkan kedua kaki kamu di atas jalan agama..” Inilah antara konsep Jihad Bisnes yang diterapkan di Ana Edar Sdn Bhd. KIta tidak hanya menghasilkan keuntungan untuk diri sendiri, tetapi kita juga berkongsi rezeki tersebut untuk memberi ‘keuntungan’ kepada mereka yang memerlukan.

Memetik satu prinsip di dalam BARAKAH PRACTICE iaitu Infaq & Islah, dapat kita fahami bahawa setiap apa yang kita Infaqkan untuk memudahkan proses Islah pada jalan kebaikan akan diberikan pahala yang berterusan daripada Allah Taala. Saham yang tidak ternilai harganya dan amat bermanfaat di Akhirat nanti.

IMG-20150520-WA0014

Semoga dengan apa yang telah disumbangkan ini akan dapat meringankan beban mereka yang diuji dengan bah banjir. Kita hanya hamba kepada sang pencipta, Qudrat dan Iradat di tanganNya. Renungilah dan koreksilah apa hikmah di sebalik apa yang telah Allah taqdirkan. Benar Allah ingin menguji mereka yang landa banjir, tetapi pernahkah kita berfikir, adakah kita tidak diuji setelah mendengar dan melihat mereka disana diuji?.. Hidup ini sunnahnya saling berkait. Mungkin kita juga sedang diuji oleh Allah, apakah kita hanya melihat ataupun kita turut membantu!