Apabila tiba bulan Disember, rata-rata orang akan memperkatakan tentang “krismas”. Begitu juga di media sosial, betapa ramai yang cuba memberi “fatwa” sendiri. Alhamdulillah, masyarakat kita semakin terbuka, tidak menerima sesuatu berita bulat-bulat dan tidak menolak mentah-mentah. Satu indikasi yang menunjukkan bahawa kita masyarakat yang celik ilmu!
Berbalik pada persoalan utama, bolehkah kita sebagai umat Islam mengucapkan “Merry Christmas” kepada kawan, jiran atau rakan sepejabat? Terkadang hampir menjadi perselisihan faham yang ‘kronik’ disebabkan permasalahan hukum ini! Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian, Islam itu Indah, Islam itu mudah! Islam menganjurkan kita untuk saling menghormati dan bertolak ansur. Memang benar, dalam soal aqidah agama, Islam tidak bertolak ansur! Tetapi, dalam soal muamalat atau pergaulan sesama insan, Islam lebih mengutamakan pembentukan hubungan yang positif tanpa meminggirkan agama.
Merujuk kepada tatwa daripada Portal Rasmi Fatwa Malsaysia:
Maklumat fatwa boleh diakses di SINI
Kesimpulan daripada fatwa tersebut, sekadar untuk menjaga perpaduan dan keharmonian, maka kita diharuskan untuk berbuat demikian. Dengan mempertimbangkan Qodiah atau keadaan kita dalam satu masyarakat majmuk, seharusnyalah kita meraikan kepelbagaian kaum dengan sekadarnya. Mengikut kaedah Usul Fiqh, suatu ilmu yang digunakan oleh Ulama Feqah bagi mengelurakan hukum, “Addoruratu tuqaddiru biqadriha”. Maksudnya, darurat itu dibolehkan(untuk mengamalkannya) dengan sekadarnya. Sekali lagi ditegaskan, Islam itu mudah! Islam agama untuk seluruh umat!
Menyingkap sejarah agung junjungan mulia, pernah pada suatu hari, Nabi Muhammad dijemput oleh seorang yahudi untuk menjamu selera dirumahnya. Nabi tidak menolak jemputan tersebut lantas berkunjung ke rumah yahudi tersebut. Sesampainya di sana, Nabi dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan dan nabi menjamah makanan yang halal daripada semua makanan yang ada. Iktibar daripada qisah ini, Nabi mengajar kita untuk meraikan agama lain dengan sekadarnya tanpa merosakkan akidah kita, percaya kepada Allah dan Rasul. Fikirkan kembali, apakah tujuannya kita diajar sebegitu oleh Nabi Muhammad?…
Sahabat-sahabat, di sebalik perbuatan kita meraikan, terselit bunga-bunga dakwah sebenarnya. Kita tidak mahu agama lain memandang kita sebagai suatu agama yang rigid dalam bermuamalah. Nabi Muhammad sendiri banyak berdakwah melalui tauladan. Tetapi awas, adalah haram haram bagi umat Islam menyertai hari raya kaum bukan Islam seperti memasang lampu warna-warni di sekeliling rumah, menghias rumah dengan pokok krismas, menyertai perarakan Thaipusam dan lain-lain kerana amalan ini ada hubung kait dengan akidah. Begitu juga adalah haram bagi umat Islam jika mengucapkan selamat hari raya kepada orang bukan Islam pada hari-hari kebesaran agama mereka jika ianya bermaksud untuk sama-sama berhari raya dengan mereka, merelai kekufuran mereka dan berkasih sayang dengan mereka atas nama agama (mereka).
Memetik pendapat Dr. Yusuf Al-Qardhawi, beliau berpendapat hukum mengucapkan selamat hari raya kepada orang bukan Islam seperti hari krismas adalah harus, jika mereka memulakan ucapan selamat Hari Raya kepada kita. Mengikutnya lagi, Islam tidak melarang kita berbuat baik terhadap ahli kitab yang tidak bermusuh dengan kita. Kita harus berbuat baik kepada mereka sebagaimana mereka berbuat baik kepada kita. Sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Mumthanah ayat 8, “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil”.
Kesimpulannya, apabila tiba pada suatu keadaan yang memerlukan kita untuk bertolak ansur tanpa menggadaikan aqidah, maka teruskanlah dengan bertolak ansur. Islam itu mudah dan indah…